Thursday, December 10, 2009

Akhlak dan Disiplin sama ke...??

Islam dan Kesempurnaan Akhlak


۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞

Akhlak mulia antara sifat alami atau usaha..

Akhlak merupakan sebuah tabiat atau ketetapan yang asli, akhlak mulia juga mampu dicapai dengan jalan usaha. Maksudnya manusia mampu menjadi baik dan berakhlak mulia dengan usahanya sendiri, bukan menyerahkan nasibnya pada takdir semata-mata.

Nabi SAW berkata kepada Asyajj Abdul Qais:

قال له النبي صلى الله عليه و سلم : إن فيك لخلتين يحبهما الله الحلم والأناة

“ Sesungguhnya dalam dirimu ada dua sifat yang Allah sukai; sifat sopan santun dan tidak tergesa-gesa.

Friday, December 4, 2009

Bukan nak suruh masuk Hindu...

Assalamualaikum...

Ahh...dah lama saya tak menulis, paling last bulan september! Aha..teruk kan. Rasa kekok la pulak, janggal pun ada. Ni la akibatnya kalau asyik mencerna maklumat dalam otak dan keluarkan ikut mulut saja. Tak pa, nanti lama-lama OK la balik kan..

Sebenarnya saya ingin kongsi satu cerita. Petang tadi saya online...lama la jugak, tapi buat kerja la. Habis buat kerja, teringat pulak dah lama tak bukak youtube. Bila dah bukak youtube...tak tahu pulak nak tengok apa..aha. Pikir punya pikir, saya taip 'the best story'..Tup, keluar la ntah berapa ribu result carian. Saya pun belek la dua tiga video klip. Lepas tu, saya terbukak satu video klip ni. Tajuknya the best indian story..

Ingatkan cerita Shah Rukh Khan dengan Kajol...(tengok jugak dulu2, tapi tumpang mak cik ja..hehe), tapi bukan. Video ni sebenarnya menceritakan tentang bagaimana taktik-taktik Missionary Kristian yang berselindung di sebalik kerja kebajikan mereka. Ha...nak tau detail lagi? Tengok la sendiri...

http://www.youtube.com/watch?v=O4Hh5yIrtlM&NR=1

Yang menariknya, orang-orang India yang beragama Hindu begitu sayang dengan agama mereka bila orang-orang India ramai yang masuk Kristian..mereka buat wawancara...dedahkan dan sebagainya...Bagus kan orang Hindu ni?? Hmm, kita yang Muslim pulak macam mana? Apa tindakan kita tatkala gejala murtad makin menjadi-jadi sekarang ni? Tepuk dada...em, tak payah tepuk dada la...tepuk dahi ja terus! Aha..

p/s: jgn dok bukak pulak video klip suggestion kat tepi-tepi tu! =)

Wednesday, September 30, 2009

Tarbiah Ramadhan...

Ramadhan telah berlalu meninggalkan kita, Syawal menjelang menyambut kemenangan jihad melawan nafsu dalam bulan puasa- itulah apa yang di atas kertas, secara teorinya. Secara praktikal dan realitinya rata-rata umat Islam langsung tak mencapai target yang sepatutnya. Nak dibandingkan dengan para sahabat radiallahhuanh...jauh sama sekali!

Itulah kita umat di akhir zaman...

Tapi apa yang penting, usaha kita ke arah memperbaiki diri ke arah satu perubahan yang lebih baik adalah boleh dibanggakan. Jangan lupa tarbiah Ramadhan yang telah kita lalui sebulan yang lalu.

Istiqamah dengan amalan-amalan tersebut dan jangan lupa puasa 6 ;)

~ Istiqamah membuka jalan kepada keselamatan, pertengahannya membuka jalan kepada karamah dan di akhirnya akan membuka jalan ke Jannah... ~ Al-Hukama'

Wednesday, September 16, 2009

Facebook Haram!!!

۞ ﺒﺴﻢ ﺍﷲ ﺍﻠﺮﺤﻤٰﻦ ﺍﻠﺮﺤﯿﻢ ۞


Diambil dari teratakmaya.blogspot.com. Artikel asal dari : Saifulislam.com



“Ustaz, do you have any networking account?” tanya Saeb kepada saya.

“You mean, like Friendster and Myspace?” saya meminta kepastian.

“Yes. But in the States we don’t use Friendster. We’re more into Facebook,” jelas Saeb kepada saya.

Beliau adalah anak kepada pensyarah saya, seorang warga Amerika Syarikat.

“Oh yeah. I have registered an account but completely forgot about it because there’s no one there,” saya memberitahu.

“Great. Probably Malaysians are still hanging around Friendster. But anyway you’ll find us there. I’m trying to bring Dad into Facebook, too!” gurau beliau.

PENYERTAAN AWAL KE FACEBOOK

Saya mendaftarkan akaun Facebook pada awal 2007 tetapi hanya mengaktifkan penggunaannya semula kira-kira enam bulan selepas itu bagi menguruskan jaringan sosial antara kami, AJK IYEP dengan peserta yang datang dari seluruh dunia.

Ketika itu, amat kecil bilangan pengguna Malaysia yang berada di dalam jaringan Facebook. Namun, saya berasa selesa menggunakannya berbanding dengan Friendster kerana suasana di dalam Facebook lebih teratur, kemas dan ‘tidak kebudak-budakan’. Di kala itu, memang sudah menjadi buah mulut orang menganggap pembabitan anak muda di dalam Friendster di negara kita amat mengundang mudarat. Perkongsian gambar-gambar tidak senonoh hingga membabitkan beberapa artis ketika itu, menyebabkan saya langsung tidak terfikir untuk mempertimbangkan soal menyertai Friendster, biar pun untuk tujuan dakwah khususnya pada mendekati golongan remaja.

Berbeza dengan Facebook, rakan-rakan yang lebih ’sekepala’ dan ’seusia’ bertambah dari semasa ke semasa melalui Facebook dan ia sangat berkesan dalam usaha ‘menjejak kasih’ teman-teman lama dari seluruh dunia.

Keadaan ini sedikit demi sedikit berubah apabila semakin ramai pengguna internet Malaysia menyertai Facebook.

Saya tidak pasti apakah yang patut ditunding kesalahan. Apakah kerana kelompok yang membanjiri Facebook kebelakangan ini adalah remaja bermentaliti kebudak-budakan, atau mereka bekas pengguna Friendster, atau mereka mewakili suatu ngomelan tentang budaya kurang sihat di Malaysia yang disebut sebagai ‘First Class Facility with the Third Class Mentality’. Facebook mula comot dengan pelbagai aplikasi seperti kuiz, permainan dan pelbagai fungsi yang menghilangkan hemah Facebook selama ini.

Keadaan menjadi lebih merunsingkan apabila kita memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringan kita. Apabila beberapa ratus daripada 5000 itu menyebarkan sampah sarap, ia sudah cukup untuk merosakkan fungsi asal Facebook yang menjadi asas tujuan kita memilih jaringan sosial ini.

BOLEH MENJADI HARAM

Keasyikan pengguna-pengguna Facebook melayan kuiz dan permainan, di samping sembang bual yang pada masa ini jumlah warga jaringan Malaysia mencecah lebih 800,000 orang, boleh menghasilkan suatu ketagihan seperti apa yang pernah menimpa pengguna perkhidmatan chatting MiRC suatu ketika dahulu. Tambahan lagi, dengan kemudahan akses Facebook melalui telefon bimbit, tahap ketagihan itu bisa jadi melampau dan merosakkan.

Dalam keadaan seperti ini, keharusan menggunakan Facebook boleh bertukar menjadi HARAM ke atas individu yang menyalahgunakan Facebook hingga berlaku kelalaian di tahap yang ekstrim.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:

23_1-3“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Apa yang menjadi larangan bukanlah Facebook sebagai medium. Tetapi larangan itu terkena ke atas individu yang gagal mengawal dirinya hingga sesuatu yang asalnya begitu bermanfaat berubah menjadi mudarat akibat lemah daya mengawal dan membuat pilihan.

Dalam masa yang sama juga beberapa konsep akhlaq perlu diberikan penjelasan dalam konteks etika melayari internet serta menggunakan aplikasi yang kedapatan, termasuk email dan Facebook.

EMAIL

Saya tidak menyiarkan alamat email di tempat terbuka.

Antara tujuannya ialah untuk melindungi akaun email saya daripada kebanjiran email spam. Justeru untuk kemudahan perhubungan, saya sediakan borang email dan semua mesej yang dihantar di situ akan masuk terus ke akaun Gmail saya.

Akan tetapi, apabila mesej yang dikirim, saya balas dengan memberikan jawapan yang diminta, penerima email itu telah memasukkan email saya ke senarai email yang bakal menerima artikel-artikel yang beliau hantar dalam jumlah yang sangat mengganggu. Entah mengapa, ada sesetengah kita memiliki tabiat mengajukan rantaian-rantaian artikel melalui email dalam bentuk yang tidak terkawal. Tentu sahaja mengambil satu artikel lalu dikongsikan bersama rakan-rakan lain agar tersebar manfaat, adalah suatu perbuatan yang terpuji. Tetapi tatkala menerima satu email, dan kemudian terus menekan butang REPLY atau REPLY TO ALL dengan email yang sudah lima lapis diperlakukan sedemikian rupa, ia menampakkan bahawa email itu dihantar lebih kepada tabiat suka mengajukan email (Email Forwarding) berbanding menghantarnya dalam keadaan sedar akan apakah tujuan ia dilakukan.

Ada yang menyebarkan secara BULK hingga 20 email sehari.

Bagaimanakah anda menguruskan akaun email apabila seorang yang tidak anda kenali, menghantar 20 forwarded email sehari (sebahagiannya adalah artikel anda sendiri yang diajukan kembali kepada anda)?

Kaedah mudahnya ialah tandakan sahaja email itu dan penghantarnya sebagai SPAM.

Tetapi atas dasar menghargai sesama Mukmin yang berutusan email dengan maksud kebaikan, saya menghantar email peribadi kepada si pelaku ini memohon jasa baiknya agar email saya dikeluarkan daripada senarai penerima forwarded article beliau.

Permintaan saya itu telah menyebabkan beliau melenting. Saya ditegur kerana ‘tidak menghargai kebaikan’, ’sudah terlalu baik hingga tidak perlu ditegur oleh artikel-artikel yang baik’ dan macam-macam lagi. Saya cuba untuk terangkan kepada beliau bahawa sebahagian daripada artikel yang beliau hantar kepada saya adalah artikel tulisan saya sendiri. Ini menunjukkan beliau tidak meneliti apa yang dihantar dan kepada siapa ia dihantar. Semuanya dilakukan sebagai tabiat bahawa selepas email dibaca, terus ditekan butang Forward untuk membina rantaian email yang menyemakkan.

Dek tindak balas beliau yang agresif, saya mengambil langkah drastik membuat tapisan (filter) bahawa semua email daripadanya, terus dipadam dan dimasukkan ke tong sampah (bin).

Sehingga kini ada lebih 20 filter yang berada di dalam email saya untuk menangkis kelakuan sebegini.

TAGGING DI DALAM FACEBOOK

Fungsi tagging di dalam Facebook mempunyai manfaat yang banyak.

Disebabkan oleh adanya fungsi ini, saya sudah kurang menggunakan kamera sendiri untuk mengambil foto program yang saya hadiri atau kendali. Lazimnya jurukamera atau peserta yang bergambar akan memuatnaikkan fotonya dan tatkala saya ditanda dengan tagging, maka foto itu secara otomatik masuk ke koleksi foto saya.

Namun, terdapat sejumlah pengguna Facebook yang menggunakan fungsi tagging ini sebahagian daripada apa yang dilakukannya di dalam kuiz dan permainan. Mungkin hal ini lebih menjadi masalah apabila ia berlaku kepada pengguna Facebook yang memiliki 5000 orang ‘rakan’ di dalam senarai jaringannya.

Kemunculan aplikasi seperti PICKUPFRIENDS telah mengundang lambakan ratusan tagging berserta mesej balasan yang mengganggu ketenteraman penerimanya.

Tabiat-tabiat seperti ini tidak seharusnya berlaku. Ia menggambarkan betapa kita tidak menghargai ruang persahabatan yang wujud lantas mengisinya dengan benda-benda yang disangka lucu tetapi hakikatnya menyakiti orang lain. Cukuplah pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam:

hadith-salimalmuslimun

“Daripada Abdullah bin ‘Umar radhiyallaahu ‘anhuma beliau berkata, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda, “Seorang Muslim itu ialah seorang yang kaum Muslimin lain terselamat daripada (kejahatan) lisan dan tangannya. Seorang muhajir pula ada orang yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah kepadanya” [muttafaq 'alayh]

FACEBOOK DAN YAHUDI

Dalam sentimen kemarahan kita terhadap apa yang menimpa umat Islam di bumi Palestin, kemahuan untuk melakukan sesuatu yang berbalut emosi sering membuatkan kita keterlaluan dalam tindakan.

Suatu ketika, kempen boikot berlangsung secara aktif. Senarai panjang barangan dan perkhidmatan disebarkan untuk diboikot. Masyarakat terbahagi kepada beberapa kelompok dalam hal ini. Ada yang menolak sepenuhnya tindakan boikot, ada yang bertindak memboikot sepenuhnya apa sahaja yang berkaitan dengan Yahudi dan Amerika Syarikat, dan di celah kedua-dua aliran itu, ada yang bertindak memboikot secara selektif.

Tindakan memboikot secara selektif ini didorong oleh kesedaran bahawa mengharamkan secara mutlak urusniaga yang membabitkan Yahudi atau Nasrani semata-mata kerana dia itu Yahudi atau Nasrani, adalah suatu tindakan yang tidak menepati kehendak Syara’.

markzuckerberg

Di dalam Majalah al-Islam keluaran September 2009, terdapat sebuah artikel yang tajuknya amat serius berbunyi, “ZUCKERBERG GUNA FACEBOOK UNTUK BUNUH PENDUDUK PALESTIN”.

Apa yang tidak wajar berlaku ialah, makalah tersebut hanya mendedahkan aktiviti biasa pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, sebagai seorang Yahudi yang ‘multazim’ (mempraktikkan agama Yahudi dalam kehidupan seharian). Tetapi justifikasi terhadap kebenaran dakwaan bahawa Zuckerberg menggunakan Facebook untuk membunuh penduduk Palestin, hanya ditulis dalam sebuah perenggan ringkas berbunyi:

“… Pun begitu sebelum pengharaman oleh dua buah negara tersebut dibuat, wujud desas-desus yang mengaitkan penglibatan laman web tersebut dalam membiayai peperangan di Gaza”

Itu sahaja kenyataan yang wujud di sepanjang artikel berkenaan dalam mengaitkan Facebook dengan jenayah perang di Palestin. Ada pun isi kandungan lain, kesemuanya menceritakan tentang betapa Yahudinya seorang anak muda bernama Mark Zuckerberg, sesuatu yang tidak pernah diputuskan oleh Islam sebagai sebab untuk produk atau perkhidmatannya diharamkan.

ASAL KEHARUSAN MUAMALAH BERSAMA YAHUDI

Terdapat begitu banyak keterangan daripada Sunnah bahawa berurusniaga dengan kaum Musyrikin dan Yahudi itu adalah harus. Misalnya di dalam sepotong hadith:

“Sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh dan mencagarkan baju besi baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.” [Hadith riwayat al-Bukhari nombor 2326, 2/841]

Al-Imam al-Bukhari juga memberikan tajuk kepada salah satu bab di dalam Sahih beliau, yang mendatangkan hadith di atas sebagai, “BAB BERJUAL BELI DENGAN KAUM MUSYRIK DAN YAHUDI”.

Dalam mengulas hal ini, al-Imam al-Nawawi membuat kesimpulannya di dalam syarahan beliau kepada Sahih Muslim dengan berkata:

“Telah ijma’ seluruh umat Islam pada keharusan urusan dengan Ahli Zimmah dan lain-lain orang Kafir selagi mana urus niaga itu tidak jatuh di dalam perkara yang haram. Akan tetapi umat Islam tidak boleh ( haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka” [Sharah Sahih Muslim oleh al-Nawawi, 11/40]

Keharusan ini hanya berubah dengan adanya dalil lain yang mengubah keharusan itu, atau berlakunya sesuatu yang mengubah konteks hadith ini. Di dalam kes Facebook, adalah sangat penting untuk didatangkan bukti bahawa Mack Zuckerberg membiayai regim Zionis di Palestin, dan artikel di Majalah al-Islam September 2009 itu gagal mendatangkannya.

Di hujung artikel tersebut, satu lagi dakwaan dibuat pada menyatakan bahawa, “dengan klik sahaja pada Facebook kita juga turut sama menjadi pembunuh orang Palestin di Gaza“

Namun sama juga seperti sebelumnya, tiada sebarang bukti diketengahkan pada menunjukkan bagaimanakah penjanaan keuntungan Facebook disalurkan kepada regim Zionis yang menjajah bumi Palestin”.

Kita tidak mahu wujudnya satu budaya paranoid umat Islam yang melatah dengan mudah tatkala didatangi oleh kenyataan-kenyataan seperti ini. Orang Islam sangat cepat dimanipulasi sebagai agen merosakkan produk dan perkhidmatan melalui penyebaran email yang mendakwa ada benda tidak halal, ada campuran beracun dan lain-lain yang mana sebahagaiannya adalah palsu. Ia hanya membuktikan bahawa orang Islam banyak kerisauan tetapi tidak banyak berusaha untuk menyelidik bagi menghilangkan kerisauan tersebut.

Islam tidak pernah mengharamkan Muslim membeli atau menggunakan apa-apa produk dan perkhidmatan daripada non Muslim termasuk Yahudi. Mengharamkan pembelian atau penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan hanya dengan alasan ia milik Yahudi, boleh mengheret kita terjebak kepada perbuatan MENGHARAMKAN APA YANG HALAL, yang mana perbuatan itu sama buruknya dengan MENGHALALKAN APA YANG HARAM.

Malah perbuatan anti Yahudi secara semberono begitu adalah bersifat perkauman yang dibenci oleh Islam.

Facebook terbuka sebagai satu ruang untuk dimanfaatkan sebagai medium perhubungan dan penyebaran maklumat. Ia boleh berfungsi sebagai alat dakwah serta penyebaran maklumat, sebagaimana ia juga boleh berfungsi sebagai alat pemasaran. Seandainya di Facebook ada kempen yang memburuk-burukkan Islam, maka gunakanlah ruang yang ada untuk kempen memburuk-burukkan Islam itu ditukar kepada suatu bentuk promosi yang menimbulkan rasa ingin tahu manusia kepada Islam, seperti yang banyak berlaku pasca 11 September 2001.

Namun, jika umat Islam menghabiskan masa di Facebook dengan aplikasi yang melalaikan tanpa sebarang tujuan, penggunaan Facebook boleh menjadi haram ke atas golongan seperti ini, sama seperti pembabitannya dalam aktiviti kosong yang lain.

PANDUAN MENGATASI KETAGIHAN

Sedikit nasihat buat mereka yang mengalami ketagihan Facebook, buangkan segala aplikasi third party seperti kuiz, permainan dan yang seumpama dengannya. Gunakan Facebook sebagai alat komunikasi bersama rakan-rakan, isikan ia dengan perbincangan, perbualan yang merapatkan ukhuwwah dan menambah pengetahuan secara berhemah.

Andaikata langkah mudah ini pun gagal mengurangkan tahap ketagihan berkenaan, tamatkan akaun Facebook dan carilah kehidupan yang lebih bermakna di luar sana.

Tepuk dada, tanyalah Iman!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Wednesday, September 9, 2009

Bulan-bulan posa ni...

Salam Ramadhan al-Kareem...

Bulan puasa ketika ini telah menghampiri sepuluh malam terakhir,yang di mana seperti yang kita sedia maklum, 10 malam inilah jumhur ulama' mengatkan terdapatnya malam lailatul qadar; malam yang dinukilkan Allah dalam al-Quran lebih berharga daripada seribu bulan. Dapat bersamanya bagaikan menjadi bayi yang baru dilahirkan, suci daripada dosa dan noda. Maka kita digalakkan memperbanyakkan amal di hari-hari terakhir ini. Qiamlah di malam hari, bertadaruslah, bersedeqahlah, dan buatlah apa-apa sahaja amalan baik yang termampu untuk mendapat maghfirah-Nya di bulan yang mulia ini. Itulah yang sepatutnya.

Tapi...apakan daya...

Kita ni manusia biasa..."Alahai...panjangnya pak imam ni bace..dah berejam ni.." rungut kita dalam hati...padahal pak imam baru ja baca setengah mukasurat. Alahai kita. Tu baru masuk bab beribadat dan bukan lagi bab maksiat.

Orang kata bulan-bulan posa ni Setan kena belenggu, masuk penjara...tapi hakikatnya 'setan manusia' bermaharajalela...aha, kenapa? tak percaya? Ni satu cerita yang saya nak kongsi dengan kawan-kawan semua. Baru tadi semasa saya berbuka dengan seorang pensyarah di tempat saya belajar, sambil saya rancak mengunyah murtabak dia bercerita...

"Semalam ada lagi yang kena tangkap...pak arab dengan cina. Harap asal saja dari Arab!" gerutu pensyarah saya tu. Masuk yang diceritakannya, dah 4-5 kes berlaku masa bulan posa ni...ish3..tak sangka sungguh saya, di bulan yang mulia ni dalam orang lain sibuk melakukan ibadat...depa ni sibuk buat maksiat. Yang lebih 'hebat' lagi...pelaku maksiat tu asalnya dari negara Nabi kita Muhammad Sollallah Alaihi Wasallam.

Daripada cerita pensyarah tu, perkara ni dah dibawak kepada pihak pentadbiran universiti. Tapi yang menariknya, tiada langsung tindakan yang diambil bahkan mereka memberi alasan "Kesian pak arab tu datang jauh-jauh nak belajar..tak kan nak hantar dia balik..". Hhm...saya bingung mendengar cerita tersebut. sedia, marah...nak tergelak pun ada mengenangkan umat Islam masa kini. 'Kita Boleh, Semua Boleh!'

~Curilah peluang dan ruang yang ada di malam-malam akhir ini untuk bermunajat kepada-Nya~

Thursday, July 30, 2009

Kawan-Kawan Kita...

Kawan kita

Si A

Dia berasal daripada keluarga yang biasa ja. Di samping pinjaman PTPTN, ibu dan ayahnya turut menghantar wang setiap bulan malahan kadang-kadang dia meminta tambahan wang belanja. Duit belanja macam tak pernah cukup.

Hmm..Kenapa?

Saban hari di universiti, selain dari menghadiri kuliah aktiviti hariannya penuh daripada pagi sampai ke malam. Usai kuliah pada petangnnya, dia beriadah.

Malam hari…

Selepas Maghrib, dia tercatuk di kafe bersama dengan aweknya. Makan bersama, bercerita, gelak ketawa menghabiskan saat-saat terindah bersama kekasih yang dicintainya. Fuh, romantik habis! Suap-menyuap tu dah mesti la, kalah orang yang dah kawin(orang kawin pun suap-menyuap masa hari kenduri ja!)

Awek? Maaf, saya terlupa yang sebenarnya dia ada aweks

Ya, memang dia ramai kekasih tapi bukan setakat silih berganti saja bahkan ada 4-5 orang dalam satu-satu masa! Macam mana duit belanja nak cukup?! Yang saya tak boleh tahannya dia cukup bangga dengan dirinya sebab ada ramai awek. Bukan tu ja, pakaiannya dari kasut, sandal, seluar, sampaila ke baju…semuanya branded!

Baru-baru ni habis saja cuti semester, dia datang dengan handphone baru. Handphone lama bukannya rosak, tapi tambah lagi satu. Dah jadi 3 buah semuanya. Duit top-up jangan tanya la, kita pun boleh agak berapa ringgit dalam sebulan.

Konfem duit PTPTN tak cukup!

Ayah mak kat rumah…

Ayah mak kat rumah ni punya la bersangka baik kat anak, mintak duit..bagi. Dalam hati dok fikir “Hmm…kesian anak aku selalu tak cukup duit nak makan. Dahla buku-buku kat Universiti mahal-mahal.” Dek kerana sayangkan anak, ayah mak sanggup berpenat lelah cari duit. Kesian depa(mereka).

Bukan saya ni jenis jaga tepi kain orang, tapi dalam Islam, kita diajar untuk nasihat-menasihati. Surah Al-Asr jelas menyuruh kita berpesan-pesan dalam hal kebenaran. Rasulullah juga turut bersabda yang seorang Muslim mesti mengasihi saudara seagamanya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.

Moral of the story…

Fikir-fikirkanlah tentang kehidupan kita dan kawan-kawan disekeliling kita. Jangan fikir kita saja nak jadi baik tapi ajaklah sama kawan kita. Nak nasihat orang tak semestinya tunggu kita jadi warak. Ingatlah sabda Nabi yang maksudnya janganlah kamu tengok sapa yang berkata tapi dengarlah apa yang diperkatakannya.

Tambahan pula, kita ni mahasiswa. Golongan yang terpilih untuk melanjutkan pelajaran. Berfikirlah sebagai seorang yang matang, bijak dalam membuat keputusan dan sentiasa ingat harapan keluarga yang tercinta. Dan yang paling penting senantiasalah mendalami agama serta beramal dengannya. Sama-samalah kita renungkan.

Thursday, June 25, 2009

~Pujangga Sang Mujahid~

~ HASSAN AL BANNA ~

“ Dari dahulu hingga sekarang, saya selalu mengatakan kepada ikhwan semua di dalam setiap kesempatan, bahawa kalian tidak akan,

dikalahkan kerana sedikitnya jumlah kalian
lemahnya perancangan dan
kurangnya alat - alat pendukung atau
kerana banyaknya musuh kalian serta
berkumpulnya musuh – musuh untuk menentang kalian…

Mengapa ...? Kerana walaupun semua isi bumi ini berhimpun menjadi satu memusuhi kalian, nescaya mereka tidak dapat membahayakan kalian kecuali apa yang telah ditentukan oleh Allah buat kalian.

Tetapi ada satu sebab yang dapat menghancurkan kalian menyebabkan kalian kehilangan segala – galanya iaitu jika

hati kalian telah ‘rosak’
Allah tidak memperbaiki amal kalian
suara kalian telah terpecah belah dan
saling bertentangan pendapat.

Sebaliknya selama kalian sentiasa bersatu, selalu menghadap Allah S.W.T, sentiasa mengikutinya dan taat kepadaNya, berjalan sesuai dengan manhaj yang diredhaiNya, kalian tidak akan merasa lemah dan hina.

Dan jadilah kalian umat yang paling tinggi

Allah akan bersama kalian dan tidak akan mensia – siakan amal dan usaha kalian.


Monday, April 20, 2009

Student IPT jurusan agama atau tak...sama saja. Renungkanlah.



SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.

Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan... sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.

“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua.

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.

Monday, March 9, 2009

19 Hadith berkenaan wanita

19 HADIS MENGENAI WANITA

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang
yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah
akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa
dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya,maka
beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya
setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatat baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dardosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap
satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang
sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba
dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya
seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan
orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah)
lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah.
Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka
barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia
memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka
Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya
10,000tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang
lima waktu, puasa bulan Ramadhan,
memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga
mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki
yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang
lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah, "Suaminya.
"Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah
panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung
di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar
baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang
dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup
pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari
mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17.Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku
(Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara
perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia
bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka
dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu
daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka,
maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api

Thursday, January 15, 2009

Susahkah Bertudung..???

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Agak sukar untuk kami bicarakan, kerana kami adalah lelaki. Kurang sangat pengetahuan tentang wanita, apatah lagi untuk menegur wanita dan kaum hawa sekalian. Akan tetapi kami ingin berkongsi sedikit ilmu dan cerita barangkali, boleh dihujahkan, dibantah malah diperbetulkan kalau tersalah. Usah dimaki hamun sudah.

Kami mendapat e-mail daripada rakan yang meminta pendapat. Tulisannya begini.
‘Ape pendapat ko klo orang kte ‘wat pe pki tudung klo hati x ikhlas’ n ‘yg pkai tudung bukannya bek pon’
Ayat yang terakhir tu, kami amat tak suka. Namun tidak mengapa, kami cuba untuk menjawab. Yang lain, bolehlah memberi pandangan. Setelah sedikit perbincangan dengan rakan lain, kami suka untuk merujuk sebuar artikel, dan pengolahan mungkin akan mengikut gaya kami. Artikel ini bertajuk ‘ 10 Sebab Paling Top Wanita Muslim tidak Suka Berhijab’ oleh Dr. Huwaydaa Ismaeel. Kami ambil sedikit sahaja.

Sebab Pertama : Saya tidak yakin lagi dengan apa perlunya berhijab( bertudung).
Pernahkah dengar sebab yang ini? Kami pernah dengar.” Tudung? What the H you nak I pakai tudung? Apa yang penting sangat yek? Kalau just nak jaga nafsu para lelaki, please la. Tak kuasa I..Eh makk, tolongla. Iman dalam dada, bukan pada rambut I yang canteek nie ha” Kata-kata yang pernah terhambur satu ketika dulu, ketika menegur. Mulut sedikit memuncung-muncung tatkala mempertahankan diri beliau, intonasi bahasa sedikit beralun lembut pedih.

Betulkah beliau belum yakin?

Tatkala kita mengucap syahadah kita mengakui, Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,beerti beliau talah meyakini aqidah. Muhmmad itu pesuruh Allah yang beerti beliau telah mengakui apa-apa yang dibawa oleh Muhammad adalah hukum Allah yang benar.

Jadi bagaimana pula dikatakan meyakini Allah dan Rasul tetapi tidak yakin dengan hukumnya?
Jika kerajaan mengumukan cuti umum, kita yakin dengan pengumuman kerajaan. Namun adakah dikatakan kita orang yang yakin jika tetap beriya-iya pergi kelas atau kerja? Itu bukannya yakin, yang itu, "Bengong." Kata- kata Ustaz Mustafa Dolah,bekas pengetua SMKA Pedas.

Allah berfirman:
"Hanya ucapan orang-orang mukmin, apabila diajak kepada Allah dan rasulnya agar rasul memutuskan Diantara mereka, mereka berkata,” Kami dengar dan kami taat.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." ( Surah An-Nur.24:51)

Sebab kedua: Saya nak pakai tudung nie, tapi mak saya tak berapa nak bagilah.
Bukankah mentaati ibu bapa itu wajib? Pernah Tipah cakap benda ni pada kami, "Halo geng, sori la. Aku bukan taknak ikut cakap korang tapi mak aku cakap dunia dah berubah, zaman dah maju, So, aku ikut je, malas nak bantah-bantah." Oh Tipah, jawapanmu itu mensyahdukan sungguh, terharu.

Tapi Tipah Allah berfirman:
"Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua" ( An-Nisa’ , 4:36)

Allah fiman lagi Tipah:
"Dan jika keduanya memaksamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya , dan pergauli keduanya di dunia dengan baik , dan ikutilah jalan orang yang kembali kapada-Ku. Kemudian kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahumu akan apa yang telah kamu kerjakan."( Luqman, 31: 15)

Tipah, nak tanya sikit. Macamana awak boleh patuh kepada mak awak dan engkar kepada Tuhan yang menjadikan awak dan mak awak?
Oh Tipah, jangan tertipu lagi.

Sebab ketiga : Kedudukan dan pekerjaan saya tak mengizinkan saya untuk bertudunglah. "Saya ni student engineering, susahlah nak pakai kain, tudung bagai. Leceh. Saya suka lagi pakai jeans then kenakan dengan baju t-shirt. Barulah engineer." Kawan-kawan yang sering memberikan alasan ini pada kami.

Mungkin betul, dan banyak lagi yang tak berapa nak betul. Sebabnya, ramai je kami jumpa rakan-rakan muslimah yang cantik bertudung walaupun bekerja sebagai engineer, student engineer. Teramat ramai. Mungkin muslimah yang ni ada terbaca firman Allah:
"Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dan memberinya rezki yang tidak disangka-sangka." ( Talaq, 65 :2-3)

Rakan-rakan, yang menentukan kedudukan kita di dunia ini adalah Allah kan? Allah boleh aja menjatuhkan kita daripada kedudukan kita sekarang. Jadi, jangan sombong kepada Allah.

Sebab keempat : Panaslah Malaysia nie, susah nak bertudung.
Mila pernah hamburkan ayat ni. "Huh panas betul Malaysia ni. Ni semua global warming la ni. Potong sana, tebang sini. Abih rosak pokok, udara, panas jadinya. Yang paling penting diorang dapat dosa juga sebab membuatkan aku tak pakai tudung, panas tau. Hehe." Mila tersengih-sengih tatkala bercakap, senyum .

"Neraka lagi panas." Kata-kata kami tika itu, terus terdiam Mila. Muka nak nangis. "Ambik kau" Dalam hati kami, sekadar berbisik. Allah berfirman:

"Katakanlah "Api neraka jahannam lebih panas", jika mereka mengetahui" ( At-taubah,9:81)

Sebab kelima: Takutlah kalau pakai hijab tak ikhlas nak buat apa, nanti akhirnya buka juga. Ramai dah jadi macam tu. Alasan yang ini jika diaplikasikan menggunakan logik, pasti akan lahirnya ramai manusia yang meninggalkan terus ibadah.

"Malaslah nak solat, aku tak ikhlaslah. Nanti last-last aku tinggalkan juga, buat bertambah dosa je. Buat tak ikhlas."

"Malaslah nak puasa..malaslah nak itu, malaslah nak ini..aku tak ikhlaslah.."

Amboi-amboi, ikut suka hati je yek.

Bukankah Allah menyuruh kita sentiasa berdoa agar tsabat (tetap teguh) dalam agama ini? Sewajarnya kita berdoa dan beristiqamah, bukannya tengok orang lain buat kejap dan tinggalkan , maka kita pun terasa kita akan jadi begitu.

Jika kita terasa lemah, Allah menyuruh kita meminta tolong daripadanya dengan sabar dan solat. Bukannya minta pada pakwa, bukan juga pada yang lain. Hanya pada Allah. Lindungi daripada sifat sekejap-sekejap.

Sebab Keenam: Saya akan bertudung apabila Allah memberi saya hidayah nanti.
"Tunggulah dulu, nanti aku dah pergi haji aku pakailah. Aku tak puas lagi nak enjoy, kau ni. Aku muda lagi, hidup hanya sekali, so kita enjoyyy!" Rambut digerbang-gerbangkan, tangan pula diangkat keatas. Buat muka ala-ala puteri gitu. Rasa menyampah pun ada, tapi nak buat macamana, kawan-kawankan.

"Tapikan, maut tu sentiasa hampir?” Kami bertanya.
"Hei, mulut tu jaga sikit. Aku muda kagi tau. Sihat, tubuh solid molod lagi. Jangan nak sebut-sebut mati." Marah pula akak ni.
"Ha, tahu pula takut."Kami mengejek.
"Bukan takut, just ngeri."

Allah berfirman:
"Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau mempercepatkan sesaat pun." ( Al -A’raf, 7:34 )

Kalau bukan sekarang, bilakah lagi? Nak tunggu, tunggulah. Kami beritahu je. Ada lagi alasan?
Silakan dengan alasan-alasan itu. Sebabnya nanti mulut tak akan dapat mempertahankan kita, lidah kelu tak bersuara. Yang jawab adalah anggota badan kita, kepala, tangan, kaki, telinga dan sebagainya.

"Mana mungkin telinga boleh bercakap, bukan ada lidah pun kat telinga". Huh ada juga yang membantah ye.

"Pada radio dan telivisyen pun tiada lidah, bagaimana pula radio dan telivisyen boleh bersuara? Manusia mencipta keduanya, dan Allah yang mencipta menusia. Jadi jangan pelik jika ciptaan Allah berjuta kali hebatnya." Kata Ustaz Ali Tantawi.

Maaf jika ada terkasar bahasa, tersalah bicara. Hanya pendapat dan pandangan peribadi.

Syurga atau neraka?
Pilihlah yang mana suka...
Semuanya terserahlah kepada anda.
dipetik daripada pembina.com dengan gubahan

Monday, January 5, 2009

Sunday, January 4, 2009

Warkah buatmu Palestine!

Amat menyanyat hati apabila membaca berita yang berlaku di Gaza buat waktu ini...perasaan saya bercampur baur...marah, sedih, geram yang amat sangat! Apakan daya, hendak mengangkat senjata saya tidak berdaya...hendak berjihad sama bukan tempatnya...hanya doa mengiringi para mujahidin dan saudara-saudaraku di sana. Hampir setiap solat fardhu saya bacakan doa nawazil kerana inilah sunnah Utusan-Nya ketika mana para sahabat berperang suatu ketika dahulu..di sini saya ingin mengajak sahabat2 semua untuk sama2 membacakan doa ini ketika/selepas solat...

اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم اللهم بَدِّد شَملَهُم و فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباًَ مِن كِلاَبِكَ يا قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم يا الله يا الله يا الله
اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ إِهزِمهُم إِهزِمهُم إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka,

Ya Allah,

Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka

Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,

Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,

Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,

Kalahkan mereka,

Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.
Amien…!


Amiin Ya Rabbal A'lamin...