Monday, April 20, 2009

Student IPT jurusan agama atau tak...sama saja. Renungkanlah.



SETIAP kali berakhirnya sambutan yang membabitkan ‘kemeriahan’ pada sebelah malamnya di negara ini, tiga bulan selepas itu akan menyaksikan peningkatan kes membuang bayi dan mengandungkan anak luar nikah.

Tempoh ini ibarat ‘musim mengawan’ kerana tiga bulan selepas itu rumah perlindungan wanita akan mencatatkan peningkatan kes wanita tidak bersuami mengandung memohon ‘perlindungan’ dan di seluruh negara pula akan mencatatkan kes buang bayi sama ada yang ditemui masih hidup atau ada janin dibuang di dalam semak, tandas awam atau pusat pembuangan sampah.

Cukup menarik untuk membicarakan topik ini kerana umumnya ia membabitkan pasangan yang mengadakan hubungan intim membawa kepada perlakuan seks terlarang. Soal sah atau haram diketepikan pelakunya, asalkan hasrat nafsu serakah dicapai.

Istilah ‘mengawan’ mungkin lebih menjurus kepada binatang dan konteks ini ia memang normal, bahkan soal bertukar pasangan bukan masalah besar. Bagaimanapun, dalam lingkungan penghidupan manusia normal, apatah lagi umat Islam yang tergolong dalam kategori berpelajaran dan pendidikan tinggi, ia sepatutnya tidak berlaku.

Menariknya, ‘musim mengawan’ ini berlaku serentak setiap kali adanya sesuatu sambutan membabitkan cuti umum atau dikaitkan dengan meraikan bersama kekasih seperti Tahun Baru, kemerdekaan atau ‘Hari Kekasih’ (Valentine’s Day).

Ketika itu jugalah, anak muda bergelar pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) tidak terkecuali ‘mengawan’ sama ada mendapat persetujuan bersama atau tidak sengaja bersama pasangan masing-masing.

Penghuni Kem Bina Insan Kewaja mengikuti sesi agama dan kaunseling.

Soal hukum agama diketepikan sama sekali, soal baik buruknya perbuatan mereka yang bergelar pelajar universiti juga dibuang ke dalam tong sampah. Paling penting, naluri hati dan nafsu mesti dipenuhi.

Kenyataan ini bukan omongan kosong. Hakikatnya, jika dilihat pada statistik kes buang bayi atau kes gadis mengandung anak luar nikah, ia secara konsisten menunjukkan trend ini selepas beberapa bulan atau maksimum sembilan bulan selepas sesuatu perayaan berlangsung.

Ini diakui Pengarah Kem Modal Insan Kewaja, Yahya Mohamed Yusof, 45, yang kini sudah mengendalikan lebih 3,000 kes mengandung anak luar nikah sejak 1998. Rata-ratanya berusia 17 hingga 23 tahun yang mana mereka sebenarnya dalam peringkat mencari ilmu, bukannya mencari keseronokan seks.

Kewaja yang ditubuhkan atas inisiatif Yahya bersama isterinya, kini dikhaskan untuk membantu dan menguruskan gadis mengandung anak luar nikah, bertujuan membawa mereka kembali ke pangkal jalan dan pada masa sama mengelak meningkatnya kes membuang bayi.

Pesta hiburan dan sambutan Hari Kekasih banyak menyumbang kepada perlakuan seks bebas.

“Kira-kira 50 peratus daripada mereka pelajar sekolah menengah atas dan IPT. Memang diakui, setiap kali tiba musim perayaan, kami akan menerima banyak kemasukan baru beberapa bulan selepas itu.

“Kita perlu melihat ke belakang untuk mengkaji fakta itu dan ia dikira berdasarkan usia kandungan mereka. Kebanyakan mereka mengandung pada bulan yang memang ada sesuatu perayaan atau sambutan berlangsung. Kononnya itu masa bersuka ria.

“Kita jangka pada sambutan Hari Kekasih pada Februari lalu kes gadis mengandung di luar nikah akan meningkat selepas Mei kerana kebiasaannya, gadis terbabit hanya menyedari mereka mengandung tiga bulan selepas itu,” katanya.

Ketika ini pusat itu menguruskan 55 peserta wanita yang sedang menunggu masa kelahiran bayi mereka mengikut tempoh berbeza. Puratanya, dianggarkan antara 15 hingga 20 orang akan keluar masuk pusat itu setiap bulan.

Logiknya, itu hanya statistik daripada sebuah pusat sukarela, belum dikira pusat lain, kes mendiamkan diri atau yang nekad menggugurkan anak semata-mata mahu mengelak menanggung aib diri dan keluarga.

Berdasarkan kaji selidik dan pengalaman Yahya menguruskan pusat itu sejak 21 tahun lalu, ada antara peserta yang beranggapan pertemuan romantik pasangan kekasih sempena Hari Kekasih atau cuti umum sebagai simbolik upacara ‘pecah dara’.

Berlainan bagi Yahya yang tetap menganggap semua gadis di bawah jagaannya sebagai mangsa rogol walaupun ada yang mengadakan seks atas dasar suka sama suka.

“Seks mestilah melalui proses yang betul, mesti ada peraturan. Tiada wanita yang merancang membuatkan diri dilanda musibah, ini semua disebabkan tipu daya lelaki. Tiada yang teringin nak mengandung anak luar nikah.

“Saya anggap semua kes di sini sebagai kes rogol disebabkan mereka jadi pemuas nafsu lelaki. Apa yang boleh disimpulkan ialah bencana maksiat iaitu semua jenis maksiat di negara kita semakin teruk, perlu ada sikap menegur dan mencegah,” katanya.

Gadis serah tubuh selepas terjerat umpan cintaBAGI sesetengah pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), ada yang sanggup memendekkan cuti semester dua bulan di kampung bersama keluarga semata-mata mahu menghabiskan masa bersama teman lelaki di kampus di penghujung musim cuti.

Tempoh masa cuti semester itu juga dianggap masa paling sesuai untuk berpacaran dan lebih teruk ia adalah masa ‘tepat’ untuk mengawan kerana mereka baru saja selesai melepaskan beban menduduki peperiksaan dan semester baru belum bermula.

Mengakui hakikat itu, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, menjelaskan apabila dalam keadaan berdua-duaan, ia akan mengaktifkan naluri ghairah manusia.

“Itu sebenarnya memberi ruang dan peluang. Waktu mengawan ini juga bermusim, sama seperti jenayah lain, ada kesinambungan tetapi kesannya akan sentiasa diingati. Ia berlaku pada masa tertentu, musim balik bercuti semester, waktu perayaan, misalnya sambutan tahun baru dan Hari Kekasih.

“Jika dibincangkan dalam aspek IPT, sesetengah universiti ketika ini adalah musim peperiksaan dan cuti akan bermula Mei hingga Julai ini. Tetapi peliknya, ramai yang akan datang awal, itulah masa nak memadu kasih, jumpa kekasih,” katanya.

Selain aspek hubungan pasangan kekasih, Dr Mariani juga menegaskan ada antara pelajar yang sebenarnya terhutang budi dengan ‘pelabur’ terdiri daripada individu yang sudah bekerja, bahkan berumahtangga yang banyak membantu mereka mengatasi masalah kewangan kritikal.

Mereka berkawan rapat, diberi sokongan kebendaan, komputer riba dan wang ringgit menyebabkan mereka mudah merelakan apa saja kehendak teman lelaki mereka.

“Apabila ada individu yang boleh memudahkan kehidupan, keperluan mereka akan mudah terjerumus ke arah perbuatan moral tidak sihat. Bagaimana seseorang berpendidikan tinggi tidak boleh menilai bahawa seseorang yang memberikan kemewahan sebenarnya mengharapkan ganjaran.

“Berdasarkan pengalaman dalam mengendalikan kes begini, kebanyakan mereka hanya sedar apabila berlaku sesuatu yang tidak sepatutnya, terlanjur atau mengandung. Ini belum dikira kategori bersekedudukan... sudah macam suami isteri,” katanya.

Apabila keadaan bertambah genting, pasti mereka akan mencari jalan penyelesaian, jika bernasib baik, mereka akan ditunjukkan jalan yang betul, mendapatkan nasihat tetapi jika tersalah tempat sudah pasti akan ada yang mengesyorkan supaya menggugurkan kandungan.

“Mendapatkan pertolongan keluarga adalah perkara paling berat dan sukar kerana sudah pasti akan dimarahi. Caranya ialah mereka mendapatkan pandangan rakan rapat, tetapi kami nasihatkan supaya teruskan kandungan, pergi ke saluran tertentu, kaunselor atau badan bukan kerajaan (NGO).

“Mereka sudah buat salah, jangan buat kesalahan kedua membuang atau membunuh bayi dalam kandungan. Masih ada ruang untuk perbaiki dan pulihkan akhlak.

Namun, tegasnya dalam mengendalikan masalah ini, masyarakat perlu mengubah stigma negatif yang memandang serong mengandung anak luar nikah kerana ada kes teraniaya, misalnya dirogol ketika dalam keadaan khayal.

Kes pelajar mengandung sebelum kahwin

Kes pertama:

SARA (nama samaran), kini berusia 21 tahun. Ketika rakan sekelasnya sedang berjuang menghabiskan masa belajar di dewan kuliah, beliau kini menunggu masa saat kelahiran bayinya yang dijangka penghujung Mei ini.

Kejadian yang berlaku bukan keinginannya, tetapi akibat ledakan nafsu yang gagal dikawal, beliau menanggung sengsara mengandung anak luar nikah. Teman lelakinya menuntut di IPT sama meneruskan pengajian, meneruskan lakonan seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Biarpun bergelar pelajar universiti yang sepatutnya berfikir panjang sebelum melakukan sesuatu, ia bukannya tembok kebal yang kukuh menahan nafsu serakah, segala-galanya bermula ketika musim cuti semester pada 2008, ketika usia Sara baru mencecah 20 tahun.

Sara dan temannya lelakinya sudah lama berkenalan sejak di bangku sekolah di selatan Semenanjung. Boleh dikatakan, sama-sama masuk universiti dan berulang alik ke kampung setiap kali cuti kerana haluan mereka juga sama.

Detik malang hidupnya bermula pada September lalu ketika beliau bersama teman lelakinya tiba di ibu negara menaiki bas untuk pulang ke kampus. Ketika itu Ramadan, bulan mulia bagi umat Islam mengerjakan puasa.

Hendak dijadikan alasan atau itu memang perancangan, mereka tiba lewat malam di ibu negara. Anehnya, ketika jam 11 malam, mereka mendakwa kebuntuan bagaimana mahu pulang ke kampus, lantas menyewa hotel murah sekadar untuk bermalam sementara menunggu siang untuk pulang.

Meskipun bas atau komuter, transit aliran ringan (LRT) sudah tamat perkhidmatannya, ibu kota sebenarnya tidak pernah sunyi untuk mendapatkan khidmat teksi, ke mana saja destinasi.

Apabila berdua di dalam bilik hotel, sudah tentu ada pihak ketiga. Meskipun Sara dan pasangannya penuntut kursus agama, ternyata bekalan ilmu agama mereka masih kurang sekali gus hanyut atas desakan syaitan.

“Ini bukan soal ganjaran, soal hadiah atau suka sama suka. Kami hanya lakukan sekali saja. Terus melekat dan saya hanya sedar mengandung apabila masuk bulan kelima. Perut saya kecil, sebab itu tidak ketara.

“Walaupun agak pelik kerana sudah beberapa bulan tidak datang haid, saya anggap perkara biasa hingga masuk bulan kelima.

“Kami berusaha mencari jalan termasuk melalui internet. Akhirnya kami menemui pusat Kewaja dan datang ke sini. Saya akan serahkan anak ini kepada keluarga angkat dan teruskan pengajian selepas ini,” katanya dengan air mata bergenang.

Sehingga kini, ibu bapanya masih belum tahu bahawa anak kesayangan mereka sebenarnya bercuti daripada pengajian kerana menunggu masa menyambut kelahiran anak yang tidak dirancang.

Kes kedua.

INA (nama samaran) juga mempunyai masalah dan jalan cerita hampir sama dengan Sara. Semuanya berlaku ketika cuti semester.

Gadis Pantai Timur ini juga bermalam bersama kekasihnya gara-gara kehabisan tiket bas ekspres untuk pulang bercuti ke kampung halaman di negeri berjiran. Ketika itu, usianya baru 18 tahun dan kini pelajar sebuah institut pendidikan itu bakal bergelar ibu ketika usianya memasuki 19 tahun.

Beliau mendakwa dipaksa teman lelakinya mengadakan seks. Sebaik saja mereka mendapati tiket bas ekspres habis, teman lelaki Ina membawanya bermalam di rumah nenek dan di situlah bermula detik hitam dalam hidupnya.

“Kami hanya lakukan hubungan seks sekali saja dan saya teruskan pengajian seperti biasa. Teman lelaki tidak bekerja dan sebenarnya kami baru beberapa bulan berkenalan. Saya hanya sedar mengandung selepas tiga bulan.

“Memang keluarga mengamuk dan ibu saudara yang menghantar saya ke sini. Mereka bimbang masa depan saya dan anak,” katanya.

Ditanya kenapa tidak membuat laporan polis jika dirogol, Ina terdiam dan jelasnya, bapa anak itu adalah teman lelakinya.

Monday, March 9, 2009

19 Hadith berkenaan wanita

19 HADIS MENGENAI WANITA

1. Doa perempuan lebih makbul daripada lelaki kerana sifat penyayang
yang lebih kuat daripada lelaki. Ketika ditanya kepada Rasulullah
akan hal tersebut, jawab baginda, "Ibu lebih penyayang daripada bapa
dan doa orang yang penyayang tidak akan sia-sia".

2. Apabila seseorang perempuan mengandung janin dalam rahimnya,maka
beristighfarlah para malaikat untuknya. Allah mencatatkan baginya
setiap hari dengan 1,000 kebajikan dan menghapuskan darinya 1,000 kejahatan.

3. Apabila seseorang perempuan mulai sakit hendak bersalin, maka Allah mencatat baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah.

4. Apabila seseorang perempuan melahirkan anak, keluarlah dia dardosa-dosa seperti keadaan ibunya melahirkannya.

5. Apabila telah lahir anak lalu disusui, maka bagi ibu itu setiap
satu tegukan daripada susunya diberi satu kebajikan.

6. Apabila semalaman ibu tidak tidur dan memelihara anaknya yang
sakit, maka Allah memberinya pahala seperti memerdekakan 70 hamba
dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

7. Barangsiapa yang menggembirakan anak perempuannya, darjatnya
seumpama orang yang sentiasa menangis kerana takutkan Allah dan
orang yang takutkan Allah, akan diharamkan api neraka ke atas tubuhnya.

8. Barangsiapa membawa hadiah, (barang makanan dari pasar ke rumah)
lalu diberikan kepada keluarganya, maka pahalanya seperti bersedekah.
Hendaklah mendahulukan anak perempuan daripada anak lelaki. Maka
barangsiapa yang menyukakan anak perempuan seolah-olah dia
memerdekakan anak Nabi Ismail.

9. Tiap perempuan yang menolong suaminya dalam urusan agama, maka
Allah memasukkan dia ke dalam syurga lebih dahulu daripada suaminya
10,000tahun).

10. Perempuan apabila sembahyang
lima waktu, puasa bulan Ramadhan,
memelihara kehormatannya serta taat akan suaminya, masuklah dia dari pintu syurga
mana sahaja yang dikehendaki.

11. Wanita yang solehah (baik) itu lebih baik daripada 1,000 lelaki
yang soleh.

12. Aisyah berkata, "Aku bertanya kepada Rasulullah, siapakah yang
lebih besar haknya terhadap wanita? Jawab Rasulullah, "Suaminya.
"Siapa pula berhak terhadap lelaki?" Jawab Rasulullah, "Ibunya".

13. Apabila memanggil akan engkau dua orang ibubapamu, maka jawablah
panggilan ibumu dahulu.

14. Wanita yang taat akan suaminya, semua ikan-ikan di laut, burung
di udara, malaikat di langit, matahari dan bulan semua beristighfar
baginya selama mana dia taat kepada suaminya serta menjaga sembahyang
dan puasanya.

15. Wanita yang taat berkhidmat kepada suaminya akan tertutup
pintu-pintu neraka dan terbuka pintu-pintu syurga. Masuklah dari
mana-mana pintu yang dia kehendaki dengan tidak dihisab.

16. Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.

17.Wanita yang tinggal bersama anak-anaknya akan tinggal bersama aku
(Nabi s.a.w) di dalam syurga.

18. Barangsiapa mempunyai tiga anak perempuan atau tiga saudara
perempuan atau dua anak perempuan atau dua saudara perempuan lalu dia
bersikap ihsan dalam pergaulan dengan mereka dan mendidik mereka
dengan penuh rasa takwa serta bertanggungjawab, maka baginya syurga.

19. Daripada Aisyah r.a. Barangsiapa yang diuji dengan sesuatu
daripada anak-anak perempuannya, lalu dia berbuat baik kepada mereka,
maka mereka akan menjadi penghalang baginya daripada api

Thursday, January 15, 2009

Susahkah Bertudung..???

Dengan nama Allah, Maha Pengasih, Maha Penyayang.
Agak sukar untuk kami bicarakan, kerana kami adalah lelaki. Kurang sangat pengetahuan tentang wanita, apatah lagi untuk menegur wanita dan kaum hawa sekalian. Akan tetapi kami ingin berkongsi sedikit ilmu dan cerita barangkali, boleh dihujahkan, dibantah malah diperbetulkan kalau tersalah. Usah dimaki hamun sudah.

Kami mendapat e-mail daripada rakan yang meminta pendapat. Tulisannya begini.
‘Ape pendapat ko klo orang kte ‘wat pe pki tudung klo hati x ikhlas’ n ‘yg pkai tudung bukannya bek pon’
Ayat yang terakhir tu, kami amat tak suka. Namun tidak mengapa, kami cuba untuk menjawab. Yang lain, bolehlah memberi pandangan. Setelah sedikit perbincangan dengan rakan lain, kami suka untuk merujuk sebuar artikel, dan pengolahan mungkin akan mengikut gaya kami. Artikel ini bertajuk ‘ 10 Sebab Paling Top Wanita Muslim tidak Suka Berhijab’ oleh Dr. Huwaydaa Ismaeel. Kami ambil sedikit sahaja.

Sebab Pertama : Saya tidak yakin lagi dengan apa perlunya berhijab( bertudung).
Pernahkah dengar sebab yang ini? Kami pernah dengar.” Tudung? What the H you nak I pakai tudung? Apa yang penting sangat yek? Kalau just nak jaga nafsu para lelaki, please la. Tak kuasa I..Eh makk, tolongla. Iman dalam dada, bukan pada rambut I yang canteek nie ha” Kata-kata yang pernah terhambur satu ketika dulu, ketika menegur. Mulut sedikit memuncung-muncung tatkala mempertahankan diri beliau, intonasi bahasa sedikit beralun lembut pedih.

Betulkah beliau belum yakin?

Tatkala kita mengucap syahadah kita mengakui, Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah,beerti beliau talah meyakini aqidah. Muhmmad itu pesuruh Allah yang beerti beliau telah mengakui apa-apa yang dibawa oleh Muhammad adalah hukum Allah yang benar.

Jadi bagaimana pula dikatakan meyakini Allah dan Rasul tetapi tidak yakin dengan hukumnya?
Jika kerajaan mengumukan cuti umum, kita yakin dengan pengumuman kerajaan. Namun adakah dikatakan kita orang yang yakin jika tetap beriya-iya pergi kelas atau kerja? Itu bukannya yakin, yang itu, "Bengong." Kata- kata Ustaz Mustafa Dolah,bekas pengetua SMKA Pedas.

Allah berfirman:
"Hanya ucapan orang-orang mukmin, apabila diajak kepada Allah dan rasulnya agar rasul memutuskan Diantara mereka, mereka berkata,” Kami dengar dan kami taat.” Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." ( Surah An-Nur.24:51)

Sebab kedua: Saya nak pakai tudung nie, tapi mak saya tak berapa nak bagilah.
Bukankah mentaati ibu bapa itu wajib? Pernah Tipah cakap benda ni pada kami, "Halo geng, sori la. Aku bukan taknak ikut cakap korang tapi mak aku cakap dunia dah berubah, zaman dah maju, So, aku ikut je, malas nak bantah-bantah." Oh Tipah, jawapanmu itu mensyahdukan sungguh, terharu.

Tapi Tipah Allah berfirman:
"Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua" ( An-Nisa’ , 4:36)

Allah fiman lagi Tipah:
"Dan jika keduanya memaksamu mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya , dan pergauli keduanya di dunia dengan baik , dan ikutilah jalan orang yang kembali kapada-Ku. Kemudian kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahumu akan apa yang telah kamu kerjakan."( Luqman, 31: 15)

Tipah, nak tanya sikit. Macamana awak boleh patuh kepada mak awak dan engkar kepada Tuhan yang menjadikan awak dan mak awak?
Oh Tipah, jangan tertipu lagi.

Sebab ketiga : Kedudukan dan pekerjaan saya tak mengizinkan saya untuk bertudunglah. "Saya ni student engineering, susahlah nak pakai kain, tudung bagai. Leceh. Saya suka lagi pakai jeans then kenakan dengan baju t-shirt. Barulah engineer." Kawan-kawan yang sering memberikan alasan ini pada kami.

Mungkin betul, dan banyak lagi yang tak berapa nak betul. Sebabnya, ramai je kami jumpa rakan-rakan muslimah yang cantik bertudung walaupun bekerja sebagai engineer, student engineer. Teramat ramai. Mungkin muslimah yang ni ada terbaca firman Allah:
"Barang siapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya Allah akan menunjukkan kepadanya jalan keluar dan memberinya rezki yang tidak disangka-sangka." ( Talaq, 65 :2-3)

Rakan-rakan, yang menentukan kedudukan kita di dunia ini adalah Allah kan? Allah boleh aja menjatuhkan kita daripada kedudukan kita sekarang. Jadi, jangan sombong kepada Allah.

Sebab keempat : Panaslah Malaysia nie, susah nak bertudung.
Mila pernah hamburkan ayat ni. "Huh panas betul Malaysia ni. Ni semua global warming la ni. Potong sana, tebang sini. Abih rosak pokok, udara, panas jadinya. Yang paling penting diorang dapat dosa juga sebab membuatkan aku tak pakai tudung, panas tau. Hehe." Mila tersengih-sengih tatkala bercakap, senyum .

"Neraka lagi panas." Kata-kata kami tika itu, terus terdiam Mila. Muka nak nangis. "Ambik kau" Dalam hati kami, sekadar berbisik. Allah berfirman:

"Katakanlah "Api neraka jahannam lebih panas", jika mereka mengetahui" ( At-taubah,9:81)

Sebab kelima: Takutlah kalau pakai hijab tak ikhlas nak buat apa, nanti akhirnya buka juga. Ramai dah jadi macam tu. Alasan yang ini jika diaplikasikan menggunakan logik, pasti akan lahirnya ramai manusia yang meninggalkan terus ibadah.

"Malaslah nak solat, aku tak ikhlaslah. Nanti last-last aku tinggalkan juga, buat bertambah dosa je. Buat tak ikhlas."

"Malaslah nak puasa..malaslah nak itu, malaslah nak ini..aku tak ikhlaslah.."

Amboi-amboi, ikut suka hati je yek.

Bukankah Allah menyuruh kita sentiasa berdoa agar tsabat (tetap teguh) dalam agama ini? Sewajarnya kita berdoa dan beristiqamah, bukannya tengok orang lain buat kejap dan tinggalkan , maka kita pun terasa kita akan jadi begitu.

Jika kita terasa lemah, Allah menyuruh kita meminta tolong daripadanya dengan sabar dan solat. Bukannya minta pada pakwa, bukan juga pada yang lain. Hanya pada Allah. Lindungi daripada sifat sekejap-sekejap.

Sebab Keenam: Saya akan bertudung apabila Allah memberi saya hidayah nanti.
"Tunggulah dulu, nanti aku dah pergi haji aku pakailah. Aku tak puas lagi nak enjoy, kau ni. Aku muda lagi, hidup hanya sekali, so kita enjoyyy!" Rambut digerbang-gerbangkan, tangan pula diangkat keatas. Buat muka ala-ala puteri gitu. Rasa menyampah pun ada, tapi nak buat macamana, kawan-kawankan.

"Tapikan, maut tu sentiasa hampir?” Kami bertanya.
"Hei, mulut tu jaga sikit. Aku muda kagi tau. Sihat, tubuh solid molod lagi. Jangan nak sebut-sebut mati." Marah pula akak ni.
"Ha, tahu pula takut."Kami mengejek.
"Bukan takut, just ngeri."

Allah berfirman:
"Apabila ajalnya tiba, mereka tidak dapat meminta penundaan atau mempercepatkan sesaat pun." ( Al -A’raf, 7:34 )

Kalau bukan sekarang, bilakah lagi? Nak tunggu, tunggulah. Kami beritahu je. Ada lagi alasan?
Silakan dengan alasan-alasan itu. Sebabnya nanti mulut tak akan dapat mempertahankan kita, lidah kelu tak bersuara. Yang jawab adalah anggota badan kita, kepala, tangan, kaki, telinga dan sebagainya.

"Mana mungkin telinga boleh bercakap, bukan ada lidah pun kat telinga". Huh ada juga yang membantah ye.

"Pada radio dan telivisyen pun tiada lidah, bagaimana pula radio dan telivisyen boleh bersuara? Manusia mencipta keduanya, dan Allah yang mencipta menusia. Jadi jangan pelik jika ciptaan Allah berjuta kali hebatnya." Kata Ustaz Ali Tantawi.

Maaf jika ada terkasar bahasa, tersalah bicara. Hanya pendapat dan pandangan peribadi.

Syurga atau neraka?
Pilihlah yang mana suka...
Semuanya terserahlah kepada anda.
dipetik daripada pembina.com dengan gubahan

Monday, January 5, 2009

Sunday, January 4, 2009

Warkah buatmu Palestine!

Amat menyanyat hati apabila membaca berita yang berlaku di Gaza buat waktu ini...perasaan saya bercampur baur...marah, sedih, geram yang amat sangat! Apakan daya, hendak mengangkat senjata saya tidak berdaya...hendak berjihad sama bukan tempatnya...hanya doa mengiringi para mujahidin dan saudara-saudaraku di sana. Hampir setiap solat fardhu saya bacakan doa nawazil kerana inilah sunnah Utusan-Nya ketika mana para sahabat berperang suatu ketika dahulu..di sini saya ingin mengajak sahabat2 semua untuk sama2 membacakan doa ini ketika/selepas solat...

اللهمَّ إناَّ نجعَلُكَ فِى نُحُورِ أعدَاءِناَ وَ نَعُوذُ بِكَ مِن شُرُورِهِم اللهم بَدِّد شَملَهُم و فَرِّق جَمعَهُم وَ شَتِّت كَلِمَتَهُم وَزَلزِل أَقدَامَهُم وَ سَلِّط عَلَيهِم كَلباًَ مِن كِلاَبِكَ يا قَهاَّر يا جَباَّر يا مُنتَقِم يا الله يا الله يا الله
اللهم يا مُنزِلَ الكِتاَبِ ويا مُجرِيَ السَّحاَبِ ويا هاَزِمَ الأَحزَابِ إِهزِمهُم إِهزِمهُم إِهزِمهُم وَانصُرناَ عَلَيهِم

Ya Allah,
Sesungguhnya kami meletakkan-Mu di batang-batang leher musuh-musuh kami,
Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka,

Ya Allah,

Leburkanlah kumpulan-kumpulan mereka,
Pecah-belahkanlah dan kacau-bilaukanlah persatuan mereka,
Goncangkan pendirian mereka,
Dan hantarkanlah anjing-anjing Kamu kepada mereka

Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa,

Wahai Tuhan Yang Maha Menghukum,
Wahai Tuhan Yang bersifat Murka,
Ya Allah, Ya Allah, Ya Allah,

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab,

Wahai Tuhan yang mengarakkan awan,
Wahai Tuhan yang menewaskan bala tentera al-ahzab,

Kalahkan mereka,

Kalahkan mereka,
Kalahkan mereka,
Dan menangkan kami ke atas mereka.
Amien…!


Amiin Ya Rabbal A'lamin...